Kenali Mesir ...

Saturday 27 December 2008

By :al-jihadi

siri 1

Mesir atau lebih dikenali dengan panggilan manjanya ardhul kinanah merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai khazanah dan menyimpan 1001 rahsia. Mesir yang turut mendapat perhatian ramai dengan jolokan nama Bumi Anbia dan bumi Firaun Ia merupakan medan pertembungan obor Islam dan tembok keagungan Firaun. Pelajar-pelajar yang menyambung pengajian mereka di university Al-Azhar ini selalu diingatkan bahwa bilamana berada di bumi mesir ini ianya mempunyai dua pilihan, iaitu samaada ingin mengikut jejak langkah Nabi Musa atau Firaun. Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah sekiranya ada dikalangan mahasiswa Al-Azhar yang rosak binasa. Walau bagaimanapun, usaha para ulama’ yang tidak mengenal erti penat lelah ini menyebabkan bumi Mesir ini masih lagi gah dimata dunia.

Suka kiranya penulis membawa kalian semua untuk menyelami sendiri hakikat bagaimana keadaan suasana yang terdapat di bumi Mesir ini sebagai suatu pengalaman yang indah. Pertama kali menjejakkan kaki di bumi seribu menara ini, tiada gambaran yang dapat diungkap kan melainkan melihat bumi Mesir ini suatu tempat yang kotor, berdebu, berserabut dan tidak teratur. Bangunan-bangunannya pula kelihatan seperti kotak-kotak raksaksa yang tiada warna dan seninya. Boleh jadi itulah pandangan pertama mata yang melihatnya pada suatu sudut meskipun belum tentu ianya suatu situasi yang benar. Pesanan orang lama “duduklah untuk sejenak waktu, nescaya kamu akan merasa manisnya asam garam hidup disini”.

Sekalian lama bertamu disini, apa yang penulis amat bangga dengan bumi mesir ini ialah suasana yang lebih islamik jika dibandingkan dengan bumi Malaysia. berpaksikan 94% penduduk yang beragama Islam, maka tidak hairanlah sejauh manapun anda melangkah nescaya akan menjumpai masjid dikiri dan kanan jalan. Kebanyakan masjid yang didirikan adalah tempat untuk melakukan solat jumaat walaupun pada ghalibnya ia dinamakan surau di tempat kita. Azan yang berkemundang disetiap corong pembesar suara pula bagaikan paluan gendang perang yang bertabuh pada zaman dahulu. Semangat solat berjemaah dalam masyarakatnya jua perlu dicontohi apabila setiap masjid yang didirikan itu sentiasa dipenuhi mengikut waktu-waktu solat yang ditentukan.

Suasana islamik ini semakin menerjah jiwa apabila kedengaran alunan bacaan ayat suci al-Quran yang boleh didengari dimana-mana sahaja anda berada bermula dari mall, super market, kedai-kedai runcit apatah lagi dalam kenderaan awam. Itulah suasana islamik yang cukup segar dalam jiwa bangsa arab yang menyebabkan rata-rata dikalangan mereka adalah golongan huffaz dan memahami ayat Al-Quran itu sendiri. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mendengar muzik arab yang membingitkan telinga, maka ternyata disana ada majlis perkahwinan yang sedang berlangsung. Justeru, janganlah terus berburuk sangka dan anggaplah itu sebagai suasana warna warni dalam kehidupan sebagai mana yang terdapat di negara kita Malaysia.

Panorama islamik ini dindahkan lagi dengan terpaparnya tulisan-tulisan ayat al-Quran, hadis zikir dan kata-kata hukama’ samaada diukir didinding bangunan atau ditampal melalui stiker-stiker. Kata-kata seperti la tansa bizikrullah (jangan lupa mengigati Allah) akan membuatkan kita berasa tenang dan aman apabila melalui deretan bangunan lebih-lebih lagi apabila tersesat dijalanan. Inilah hasil dari pengaruh ulama’ yang masih kekal di bumi anbia’ ini.

Mungkin kalian ingin mengetahui berkaitan keadaan sosial, budaya dan gambaran berkaitan dengan kehidupan di Mesir dengan lebih lanjut lagi. Justeru, ikutilah sambungan artikel ini yang seterusnya bagi sesiapa yang ingin merasai dan menghayati hidup dibumi anbia’ ini khususnya bagi mereka yang tidak kesempatan untuk bertandang ke sini.

Salam imtihan dan salam mahabbah buat semua sahabat/biah




0 Comments: