Jom Puasa Sunat...

Tuesday, 6 January 2009

By : alkhattab

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Allah swt juga mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan hakim bagi segala penentuan.

Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati banyak riwayat yang membicarakan tentang amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw. Ini penting kerana setiap amalan yang ingin kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang sahih agar ianya diterima dan diberikan ganjaran pahala.

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharram ini ialah:

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

2- A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

3- Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: ((Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah diantara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dan al-Imam Muslim ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.

(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245).

Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah saw bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Diantaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda saw menjawab: ((Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu)). (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah saw begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata:

“Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah saw berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)

Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharam)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

1- Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah saw bersabda lagi: ((Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9)). Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah saw wafat terlebih dahulu.”. (Riwayat Imam Muslim)

2- Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9)). (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10".

(Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254) .

Justeru, saya mengajak kalian semua supaya marilah kita merebut peluang di kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah saw seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah saw bersabda

(maksudnya): ((Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat diwaktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram)).(H.R Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Bersama Pertingkatkan Amal Ibadah Kerana ALLAH s.w.t


Mari Muhasabah Diri...

Monday, 5 January 2009

By: baba wan

APAKAH kita pernah mengalami perasaan malas beribadah? Terasa berat untuk membaca al-Quran atau ada kenikmatan ketika melakukan solat??pernahkah kita berasa susah bangun malam untuk qiyamulail, padahal jam dikunci untuk mengejutkan kita atau telefon bimbit sudah dipasang tetapi ketika berdering, tetap terlelap dalam tidur. Apa yang kedengaran hanya seperti dalam mimpi, akhirnya jam dan telefon bimbit mati sendiri. lebih teruk dari itu, kita menarik selimut dan tidur kembali. Padahal, biasanya dengan mudah boleh bangun.Oleh yang demikian, apa yang sudah terjadi dengan diri kita? apakah kita sudah diserang penyakit yang berbahaya??kalau benarlah begitu, apa kah tandanya??

situasi berikut bukan sekadar menyerang ketika kita tidak sedar, bahkan dalam keadaan sedar juga turut berlaku. pernahkah kita merasakan mulut ini terasa berat ketika melantunkan ayat-ayat al-Quran, berzikir, beristighfar, berselawat kepada Nabi, atau mengucapkan salam
kepada saudara kita? Pernahkah kita dengan sengaja melambatkan waktu menunaikan solat
atau terasa berat untuk melakukan amal ibadah dan juga amal kebaikan?

Jika hal demikian terjadi pada kita, segeralah muhasabah diri. Ada apa dengan diri kita? Keadaan seperti ini jangan dibiarkan begitu saja. Lama-kelamaan ia akan terbiasa. Seperti halnya penyakit, jika ada gejala, segera berjumpa doktor dan makan ubat agar cepat sembuh. Begitu pula dengan ruhiyah kita. Kalau sudah ada gejala penurunan anjakan ruhiyah, segeralah kita muhasabah diri. Bagaimana hubungan kita dengan Allah dan apa yang sudah kita lakukan?

Jangan-jangan kita banyak mengerjakan maksiat hingga menghalang amalan kita. Mungkin kita tidak boleh menjaga daripada melakukan perkara yang makruh, bahkan diharamkan Allah sehingga menghalangi organ tubuh kita untuk beribadah kepada-Nya. Misalnya, kita menggunakan mata untuk menonton drama atau filem yang melalaikan meskipun cuma satu atau dua jam.

Mungkin mata kita tidak dijaga daripada melihat perkara yang tidak berguna, bahkan mengandungi maksiat. Akhirnya Allah pun tidak menjaga mata kita untuk beribadah pada-Nya. Lalu, mata kita malas untuk bangunkan tika solat malam. Mata kita rasa berat untuk beribadah, rasa berat untuk membaca buku tazkirah hati, rasa berat untuk membaca artikel yang memberi nasihat.

Selain mata, telinga juga perlu kita jaga. Boleh jadi kita susah bangun malam untuk bertaqarub kepada Allah S.W.T kerana kita tidak menjaga telinga kita. Telinga kita gunakan untuk mendengar gosip atau muzik melalaikan, bahkan terkadang boleh terngiang-ngiang dalam memori kita kerana seharian yang didengari adalah muzik. Akhirnya, pada waktu malam, telinga kita tidak mampu mendengar deringan jam loceng bahkan suara azan. Telinga kita rasa berat untuk mendengar tazkirah dan telinga kita bosan mendengar nasihat.

Selain itu, mulut penting untuk dijaga kerana ia banyak menjerumuskan manusia terutama wanita ke neraka. Mulut boleh menjadi saranan kepada ghibah, fitnah dan caci maki. Mulut tidak dapat kita kawal. segala kata-kta keluar mengikut sedap mulut yang berbicara. kadang-kadang kita tidak kenal pun dengan si polan, tapi mulut kita seronok mengata mereka. Mulut kita juga berat nak berzikir. Kenapa ini terjadi?

Begitu juga hati. Ini adalah bahagian terpenting yang perlu dijaga. Hati ibarat pemimpin manakala organ tubuh yang lain adalah komando. Hati boleh sakit, buta bahkan mati jika semakin banyak berbuat maksiat. Hati ibarat cermin. Semakin banyak membuat maksiat, maka semakin banyak noda titik hitam di cermin itu. Atau mungkin tidak ada lagi titik hitam tapi jelaga hitam yang susah dibersihkan. Begitu pula dengan diri kita, semakin banyak kita berbuat maksiat dan tidak bertaubat, kita semakin terbiasa dengan kemaksiatan itu.


ibadah adalah suatu tuntutan yang perlu dilaksanakan selaku kita sebagai seorang hamba



Salah satu yang menyebabkan kematian hati adalah banyak bercanda atau bergurau senda. Kita boleh bergurau senda untuk menceriakan suasana atau menciptakan suasana ukhuwah. Tapi hendaklah memperhatikan adabnya. Perhatikan dengan siapa juga dan tidak berlebihan, apalagi adanya lelaki dan perempuan dalam satu majlis.

Tengoklah diri kita. Muhasabahlah diri kita. Jika selama ini kita belum menjaga mata, mulut, telinga, hati dan organ tubuh kita yang lain daripada kemaksiatan, segeralah kita bertaubat dan istighfar diri. Tidak ada kata terlambat untuk kebaikan. Seharusnya kita sayang jika tidak boleh tadarus al-Quran meskipun hanya terlepas satu hari.

Kita berasa sayang jika tidak ada nikmat beribadah. Jika masih berasa sayang, jagalah diri kita dan Allah akan menjaga kita agar sentiasa dekat dengan-Nya.

Oleh Hashim bin Ahmad

Bersediakah Untuk Malam Pertama??

Sunday, 4 January 2009

By; super gym

" Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama' serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza."


"Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?"


Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita.


Lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah. Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan?


Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!


Ingatlah ayat al-Quran bagi mereka yang mahu dikembalikan ke dunia setelah mati:

"Ya Tuhanku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu)." (Surah Al-Mu'minun, ayat 99-100)


Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu?

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya?

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan?

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?


Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya.


"Ya Allah, tolonglah kami ketika menghadapi sakaratul maut dan matikanlah kami dengan keadaan husnul khatimah!"


Ya Allah, bantulah pejuang agamamu yang berada di palestin dan serata dunia...musnahkankah segala perancangan golongan kuffar laknatullah. semoga Islam terus dijulang..........

Dimana Ummat Islam!!!

Thursday, 1 January 2009

by : ayah ngah

Keganasan Israel yang dilakukan terhadap bumi palestin pada hari ini adalah hasil dari penipuan dan pembohongan terhadap masyarakat dunia. Mereka telah Berjaya menyebarkan berita melalui makalah, siaran TV,majalah dan sebagainya yang memberi gambaran bahawa Islam itu teroris, Islam itu pengganas, Islam itu penjenayah yang patut diperangi kerana kononnya ia memberi ancaman kepada tamandun manusia. Walau bagaimnapun apa yang memeranjatkan, ada sesetengah ummat Islam, pemimin Islam yang bersetuju terhadap kata-kata tersebut. Oleh sebab itu,saya telah membawa satu petikan ucapan (yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu) dari seorang pejuang Islam yang ingin menyedarkan penganut Islam. Petikan tersebut adalah seperti berikut :

Wahai ummat Islam sekalian!!

Kaum muslimin di palestin telah meminta pertolongan dari kalian, dari pemimpin Islam, dari anak-anak umat Islam yang mendakwa mereka ini merupakan para pengikut Rasulullah s.a.w..lantas apakah yang dilakukan oleh ummat Islam??apakah ummat ini mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w?? apakah mereka melakukan apa yang dilakukan oleh Muhammd s.a.w?? tidak sama sekali!!

Saya bertanya kepada kalian wahai kaum muslimin…bagaimanakah kelaknya kalian akan berhadapan dengan Allah di hari kiamat?? Ketika kalian berdiri di hadapan Allah yang mengetahui segala yang tersirat dan tersurat, yang pada ketika itu bersama kalian adalah seorang anak dari kaum muslimin palestin. Ia berkata “Ya Rabb..Ya Allah aku telah meminta pertolongan dari ummat Islam, namun ummat Islam tidak menjawab panggilanku”. Tidakkah kalian gentar akan disoal oleh Allah kelak??

Wahai Kaum muslimin sekalian!!

Dimanakah tentera kaum muslimin?? Mengapa pertolongan tentera antara bangsa yang dipinta?? Dimanakah tentera Mesir? Dimanakah tentera Syiria?dimana Jordan? Dimanakah tentera negara-negara teluk? Dimanakah tentera Yaman, Algeria, Indonesia, Malaysia? dimanakah Negara yang mengaku sebuah negara Islam?? di manakah bom-bom tentera Pakistan dan untuk siapakah bom ini dihasilkan?? Untuk apakah tentera-tentera ini disediakan??

Wahai manusia, aku bersuara untukmu dengan kesedihan, dgn kepiluan di dalam hatiku. Aku bersuara untukmu dan aku mengigatkanmu. Suatu hari nanti kalian akan berdiri dihadapan Allah yang maha mengetahui. Mereka yang akan bersama dengan kamu pada hari kiamat adalah

anak-anak kecil yang bersuara, “Ya Rabb.. ummat Islam telah mengecewakan aku, ummat al-Quran telah mengecewakan aku, ummat Islam yang mengaku beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w jua telah mengecewakan aku”. Bagaimanakah perasaan kamu ketika itu? Dimanakah kalian akan menyembunyikan diri pada ketika itu? Hei! Mengapa kamu mendiamkan diri wahai ummat Islam. Mengapa kamu sangat lemah? Ummat Islam bukanlah ummat yang lemah. Tidakkh kalian malu??

Kalau benarlah begitu, maka tidak salahlah sebagaimana yang dinyatakan dalam satu hadis nabi yang antara lainnya bermaksud bahwa ummat Islam yang begitu ramai pada suatu hari nanti hanyalah seperti buih-buih dilautan. Mereka ini akan dicampakkan suatu penyakit dalam diri mereka iaitu penyakit wahn (cintakan dunia dan takut mati)

Wahai saudaraku sekalain!!

Bilakah ummat Islam akan bangun?bilakah mereka ini akan sedar permasalahan utamanya? Bilakah ummat ini akan kembali kepada Islam? Apakah kalian nantikan lagi atas apa yang telah dilakukan oleh kaum yahudi, kaum Israel, kaum kuffar laknatullah. Apakah kalian menanti sehingga mereka ini melakukan sesuatu yang lebih buruk dari ini? Demi Allah! Mereka telahpun melakukannya..

justeru aku ingin bertanya kalian semua, Islam apakah yang kalian anuti? Quran apakah yang kalian imani? Atau adakah kalian membaca al-Quran dengan pandangan kafir?adakah kalian memahami Islam melalui pemahaman kuffar? Atauapakah Islam yang kalian ikuti ini tidak mengandungi ayat Allah yang bermaksud : “dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian( ketika mereka diserang) kerana Islam, kalian mestilah menolong mereka”. Atau apakah Islam yang kalian anuti ini tidak mengandungi sabda Rasulullah s.a.w : “seorang muslimin itu adalah saudara muslim yang lain”. Ia tidak menzaliminya, mengkhianatinya atau menyerahkannya (kepada yang menzaliminya) .

Lantas, pengkhianatan apakah ini wahai pemerintah Islam? Bagaimana kalian akan bertemu Allah dan apakah yang kalian akan katakan sedangkan Kalian mendakwa kalian bersama dengan Islam. Wahai pemerintah Negara Islam! Bertakwalah kamu kepada Allah. Bebaskanlah diri dari penyakit wahn (cinta dunia dan takut mati). Ketahuilah bahawa para pemimpin yang takut kepada Amerika, mereka berdoa kepada Amerika, mereka meminta kepada Amerika, mereka percaya kepada Amerika bahawa Amerikalh yang memberi dan mengambil nyawa mereka. Sedarilah wahai ummat ku sekalian! bahawa tiada tempat berlindung kecuali kembali kepada Al-Quran agar kekuasaan Islam dapat didirikan di bumi Allah ini.



wahai ummat Islam sekalian!!


Saya menyeru kepada kalian wahai saudara ku! Agar kalian bangun dan membuang debu-debu yang sudah terlalu lama melekat di tubuh kalian dan bersama-samalah dengan saudara kalian yang bekerja keras demi mengembalikan kegemilangan Islam dimuka bumi ini semula. Dengan mengembalikan khilafah Islam buat kali kedua melalui tarikat Rasulullah s.a.w, mudah-mudahan kalian memenuhi tanggungjwab kalian terhadap Allah. Maka janganlah kalian saling mengkhinati dan membohongi sesama sendiri. Mintalah pertolongan Allah untuk menjalankan tanggungjawab ini, agar Allah mengurniakan kemulian kepada kalian di dunia dan akhirat serta mendapat keredhaanNya.

Bersama menyelamatkan ummat Islam..Takbir3x

Ahli Bait Crystal Mengutuk Tindakan Israel

Tuesday, 30 December 2008

by: ahli bait

Sambutan tahun baru maal hijrah bagi penduduk gaza bagaikan disambut dengan cahaya gemercipan bunga api tahun baru masihi yang diraikan setiap tahun oleh seluruh dunia. Israel begitu rakus membunuh penduduk palestin tanpa menghiraukan tangisan dan laungan penduduk Islam yang berada disana. Serangan yang dilakukan ini disifatkan sebagai serangan yang ingin membunuh dan menghilangkan terus penduduk Islam di muka bumi palestin. Penduduk palestin yang merupakan saudara seagama dengan kita, seakidah dengan kita telah dibunuh dengan kejam tanpa menghiraukan belas kasihan. Inilah jenayah yang paling besar atas muka bumi ini dan ianya patut menerima bala yang besardari Allah s.w.t.



Oleh sebab itu, Ahli bait kami setegas-tegasnya mengutuk tindakan ganas Israel ke atas wilayah Gaza yang masih lagi tidak dihentikan tersebut dan kami semua memohon kepada Allah agar menurunkan bala yang besar menimpa golongan kuffar tersebut. Dengan itu juga, kami ingin mengajak sahabat/biah sekalian agar menyahut seruan dari pihak PMRAM untuk mengadakan kempen seperti berikut :

1) Semua mahasiswa-mahasiswi digalakkan mengikuti perkembangan yang berlaku di Gaza mulai (Ahad, 28/12/08) sehingga hari (Sabtu 04/01/2009) melalui televisyen(berita), suratkhabar harian, web-web berita menerusi internet dan apa jua perantaraan yang boleh dicapai bagi mengikuti perkembangan ini dari semasa ke semasa. Sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari.

2) semua mahasiswa-mahasiswi digalakkan mengadakan solat hajat serta qunut nazilah secara berterusan dari hari ke hari (sama ada secara berjemaah atau bersendirian) . Galakkan ini bermula (Ahad, 28/12/08) sehingga akhir peperiksaan fasa pertama.

3) Bergelap selama 15 minit pada hari Sabtu akan datang, 04/01/2009(Sabtu malam Ahad) bermula jam 7.30 malam waktu Mesir.

mudah-mudahan segala kempen yang dijalankan ini dapat melahirkan rasa simpati dalam diri setiap mahasiswa setersunya membankitkan rasa cintakan ummat Islam yang berada di gaza dan seluruh dunia amnya.

Kenali Mesir ...

Saturday, 27 December 2008

By :al-jihadi

siri 1

Mesir atau lebih dikenali dengan panggilan manjanya ardhul kinanah merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai khazanah dan menyimpan 1001 rahsia. Mesir yang turut mendapat perhatian ramai dengan jolokan nama Bumi Anbia dan bumi Firaun Ia merupakan medan pertembungan obor Islam dan tembok keagungan Firaun. Pelajar-pelajar yang menyambung pengajian mereka di university Al-Azhar ini selalu diingatkan bahwa bilamana berada di bumi mesir ini ianya mempunyai dua pilihan, iaitu samaada ingin mengikut jejak langkah Nabi Musa atau Firaun. Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah sekiranya ada dikalangan mahasiswa Al-Azhar yang rosak binasa. Walau bagaimanapun, usaha para ulama’ yang tidak mengenal erti penat lelah ini menyebabkan bumi Mesir ini masih lagi gah dimata dunia.

Suka kiranya penulis membawa kalian semua untuk menyelami sendiri hakikat bagaimana keadaan suasana yang terdapat di bumi Mesir ini sebagai suatu pengalaman yang indah. Pertama kali menjejakkan kaki di bumi seribu menara ini, tiada gambaran yang dapat diungkap kan melainkan melihat bumi Mesir ini suatu tempat yang kotor, berdebu, berserabut dan tidak teratur. Bangunan-bangunannya pula kelihatan seperti kotak-kotak raksaksa yang tiada warna dan seninya. Boleh jadi itulah pandangan pertama mata yang melihatnya pada suatu sudut meskipun belum tentu ianya suatu situasi yang benar. Pesanan orang lama “duduklah untuk sejenak waktu, nescaya kamu akan merasa manisnya asam garam hidup disini”.

Sekalian lama bertamu disini, apa yang penulis amat bangga dengan bumi mesir ini ialah suasana yang lebih islamik jika dibandingkan dengan bumi Malaysia. berpaksikan 94% penduduk yang beragama Islam, maka tidak hairanlah sejauh manapun anda melangkah nescaya akan menjumpai masjid dikiri dan kanan jalan. Kebanyakan masjid yang didirikan adalah tempat untuk melakukan solat jumaat walaupun pada ghalibnya ia dinamakan surau di tempat kita. Azan yang berkemundang disetiap corong pembesar suara pula bagaikan paluan gendang perang yang bertabuh pada zaman dahulu. Semangat solat berjemaah dalam masyarakatnya jua perlu dicontohi apabila setiap masjid yang didirikan itu sentiasa dipenuhi mengikut waktu-waktu solat yang ditentukan.

Suasana islamik ini semakin menerjah jiwa apabila kedengaran alunan bacaan ayat suci al-Quran yang boleh didengari dimana-mana sahaja anda berada bermula dari mall, super market, kedai-kedai runcit apatah lagi dalam kenderaan awam. Itulah suasana islamik yang cukup segar dalam jiwa bangsa arab yang menyebabkan rata-rata dikalangan mereka adalah golongan huffaz dan memahami ayat Al-Quran itu sendiri. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mendengar muzik arab yang membingitkan telinga, maka ternyata disana ada majlis perkahwinan yang sedang berlangsung. Justeru, janganlah terus berburuk sangka dan anggaplah itu sebagai suasana warna warni dalam kehidupan sebagai mana yang terdapat di negara kita Malaysia.

Panorama islamik ini dindahkan lagi dengan terpaparnya tulisan-tulisan ayat al-Quran, hadis zikir dan kata-kata hukama’ samaada diukir didinding bangunan atau ditampal melalui stiker-stiker. Kata-kata seperti la tansa bizikrullah (jangan lupa mengigati Allah) akan membuatkan kita berasa tenang dan aman apabila melalui deretan bangunan lebih-lebih lagi apabila tersesat dijalanan. Inilah hasil dari pengaruh ulama’ yang masih kekal di bumi anbia’ ini.

Mungkin kalian ingin mengetahui berkaitan keadaan sosial, budaya dan gambaran berkaitan dengan kehidupan di Mesir dengan lebih lanjut lagi. Justeru, ikutilah sambungan artikel ini yang seterusnya bagi sesiapa yang ingin merasai dan menghayati hidup dibumi anbia’ ini khususnya bagi mereka yang tidak kesempatan untuk bertandang ke sini.

Salam imtihan dan salam mahabbah buat semua sahabat/biah