Renungan Muharam

Wednesday, 7 January 2009

By: abg chik


Kesedaran umat Islam dalam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik. Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat iaitu semoga ianya akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun, peringatan Nabi saw di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja.

Daripada A’isyah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ianya akan tertolak". (H.R Muslim).

Sebab itulah para ulama', diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh telah meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah swt dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak akan diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan ikhlas dan tepat. Ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata, dan tepat itu ialah ianya bertepatan dengan sunnah.

(Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-HIkam, Tahqiq: Dr. Yusof al-Baqa’I (Bierut: al-Maktabah al-‘Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)

Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan ini.

Di antara amalan-amalan di bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunnah Rasulullah saw yang sahih ialah:

1- Memakai celak pada hari ‘Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu’ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya".

(Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116)

Hadis ini hukumnya maudhu’ (palsu). Imam Ahmad berkata: "Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah saw tentang amalan memakai celak pada hari ‘Asyura, dan ianya adalah bid’ah".

2- Solat sunat yang khusus pada hari ‘Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu’: "Sesiapa yang sembahyang padanya (hari ‘Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali Qullhuwallhu ahad, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun".

3- Mandi yang khusus pada hari ‘Asyura’ dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang sakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu’: "Barang siapa yang mandi dan bersuci pada hari ‘Asyura’, ia tidak akan ditimpa sebarang sakit pada sepanjang tahun, kecuali mati".

4- Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari ‘Asyura’ dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada ‘Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman, pakaian) kepada ahli keluarganya, pada hari ‘Asyura’, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki di sepanjang tahunnya".

Hadis ini hukumnya maudhu’, disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu’at,2/115).

5- Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur ‘Asyura) yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah saw atau disandarkan kepada peristiwa nabi Nuh a.s yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar. Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ianya bersumberkan daripada cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab “Qashas al-Anbiya’.

Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan daripada sunnah Rasulullah saw yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum muslimin. Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunnah Baginda saw, dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah swt untuk mengikuti sunnah Rasulullah saw.

0 Comments: