Tuesday, 23 September 2008
Selain dari bulan puasa, bulan ramadhan juga merupakan bulan untuk kita mentarbiah diri. Hal ini demikian kerana bila kita berada di bulan ramadhan ini maka kita akan namakan ia madrasah ramadhan (sekolah). Madrasah ialah tempat belajar, tempat didikan, tempat untuk meningkatkan kefahaman. Jadi tidak salahlah jika kita katakan kita sekarang ini berada dalam pentarbiahan ramadhan.
Orang yang betul-betul mendapat tarbiah (didikan) di bulan ramdhan ini akan merasa dirinya berubah dari semasa ke semasa, daripada malas kepada rajin, daripada buruk kepada baik dan apa yang penting adalah ilmunya juga bertambah dari hari ke hari. Maka cukup malu sekiranya orang yang melepasi pentarbiahan ramadhan itu sama sahaja dengan sebelumnya. Berjaya ataupun tidak seseorang itu kita akan dapat lihat bila berakhirnya bulan ramdhan nanti….
Oleh yang demikian, sebelum berakhirnya bulan ramdhan ini, marilah sama-sama kita mengislah diri kita agar dapat menjadikan diri ini daripada kurang baik kepada baik dan daripada baik kepada lebih baik dan dari lebih baik kepada yang terbaik. Rentetan daripada itu, dibawah ini telah digariskan beberapa item untuk mengislahkan diri kepada yang lebih sempurna :
* melakukan pengislahan diri bersama niat yang suci serta membuat persiapan dengan perancangan rapi untuk berubah.
* Pulihkan hubungan baik dengan Allah, jadikan Ramadan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadan.
* Bertekad melakukan solat fardu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah dan sebagainya.
* Bertadarus al-Quran dan memahaminya dengan teliti. Apa yang penting, bertekadlah didalam hati untuk menghabiskan al-Quran pada bulan ramadhan ini sekurang-kurangnya sekali
* Berjanji di hadapan Allah untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar.
* Menjadikan pelaksanaan solat fardu lima waktu sebagai wija’ (penghalang) kepada perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran,.
* Berazam untuk meninggalakan segala kejahatan dan tidak mahu mengulanginya semula dengan melakukan 'taubat nasuha' iaitu dengan niat yang bersungguh-sungguh.
* Bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah s.a.w. sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini.
* Layani dan hormati kedua-dua ibu bapa serta golongan yang lebih tua dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadan,
* memohon maaf terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka dan bukan menunggu menjelangnya awal Syawal.
* Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.
* bertekad untuk meninggalkan tabiat buruk semasa dan selepas Ramadan seperti suka melewatkan solat fardu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau.
* Hormati bulan Ramadan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah.
Secara kongklusinya, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah SWT bukan sahaja ada pada bulan Ramadan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita.
Mudah-mudahan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah SWT dan janganlah biarkan Ramadan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri.
0 Comments:
Post a Comment